SEJARAH PENUBUHAN RUWAQ JAWI
Kalimah ‘Ruwaq’ adalah nama khusus yang digunakan oleh Masjid al-Azhar al-Syarif yang membawa maksud tempat tinggal para pelajar al-Azhar di dalam masjid al-Azhar mengikut negara masing-masing satu ketika dahulu.
Antara ruwaq yang ada di dalam masjid al-Azhar adalah Ruwaq Magharibah untuk para pelajar dari Maghribi, Ruwaq Atrak untuk para pelajar dari Turki, Ruwaq Zaila’i untuk para pelajar dari Afrika dan Ruwaq Jawi untuk para pelajar dari Nusantara. Namun pada hari ini ruwaq-ruwaq tersebut sudah tidak lagi menjadi tempat tinggal pelajar sekalipun sebahagian ruwaq berfungsi sebagai kelas penyampaian ilmu.
Sumber dari al-Azhar menyatakan bahawa Ruwaq Jawi (turut juga disebut: Ruwaq Jawah dan Ruwaq Jawa) terletak di antara Ruwaq Syawam dan Ruwaq Sulaimaniyyah. Ruwaq Jawi adalah satu bilik kecil yang didiami oleh para pelajar al-Azhar dari Nusantara. Para penghuninya akan menerima 11 keping roti setiap hari. Kenyataan ini menunjukkan bahawa penghuni Ruwaq Jawi dalam satu masa adalah berjumlah sekitar 11 orang. (Lihat: http://alazharmemory.eg/topics/topicsDetails.aspx?id=542).
Selain itu, Ruwaq Jawi juga berperanan dalam menyimpan khazanah ilmu buat al-Azhar al-Syarif. Jumlah manuskrip yang berada di dalam Ruwaq Jawi satu ketika dahulu berjumlah sebanyak 64 jilid buku. (Lihat: http://www.alukah.net/library/0/39511/)
Menurut satu kajian, Ruwaq Jawi telah wujud sebelum kedatangan Kiyai Haji Abdul Manan Dipomenggolo yang tiba di al-Azhar pada tahun 1860-an bahkan menurut beberapa sumber, Ruwaq Jawi sudah wujud di dalam Masjid al-Azhar al-Syarif pada tahun 1815 Masihi. (Lihat http://www.academia.edu/…/DARI_ACEH_SAMPAI_MESIR_SEKILAS_TE…pada halaman 4 dan https://pwkpersis.wordpress.com/…/10/sejarah-al-azhar-bag-i/)
Antara para ulamak Nusantara yang dikenalpasti pernah tinggal di dalam Ruwaq Jawi adalah:
• Kiyai Abdul Manan Dipomenggolo dari tanah Jawa (berada di Mesir sekitar tahun 1850 Masihi) yang merupakan murid kepada Syeikh Ibrahim al-Bajuri. Kiyai Abdul Manan adalah datuk kepada Kiyai Mahfuz Termas yang merupakan pengarang kitab Hasyiah al-Tarmasi Ala Minhaj al-Qawim. (Lihat: http://majalah.hidayatullah.com/…/kajian-kitab-ulama-nusan…/)
• Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni (tiba di Mesir pada tahun 1872).
• Syeikh Ismail bin Abdul Muttolib dari Acheh yang pernah menjadi Syeikh Ruwaq Jawi. Beliau adalah murid kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni, Sumber dari al-Azhar menyatakan bahawa antara Syeikh Ruwaq Jawi yang terkenal adalah Syeikh Ismail Muhammad al-Jawi. Berkemungkinan beliau yang dimaksudkan adalah Syeikh Ismail bin Abdul Muttolib. (Lihat: http://alazharmemory.eg/topics/topicsDetails.aspx?id=542)
• Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Kudus (lahir 1863 dan wafat 1915) dari Kudus, Jawa Tengah yang merupakan murid kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni. Berkemungkinan besar beliau juga pernah tinggal di Ruwaq Jawi kerana beliau adalah di antara angkatan ulama Nusantara yang telah berangkat ke Mesir dari Makkah setelah Mesir didatangi oleh Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni. (Lihat http://bahrusshofa.blogspot.com/…/syaikh-abdul-hamid-kudus.…)
Kesedaran menubuhkan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi adalah disebabkan Ruwaq Jawi sebenar yang berada di dalam Masjid al-Azhar al-Syarif sudah tidak lagi berfungsi sebagai tempat tinggal pelajar Nusantara dan tidak pula dijadikan tempat penyampaian ilmu pada hari ini.
Atas kesedaran bahawa Ruwaq Jawi mampu mewujudkan suasana ilmiah dan melahirkan generasi yang cinta ilmu, lapan orang para pelajar al-Azhar al-Syarif dari Malaysia iaitu Ustaz Mohd Nazrul bin Abdul Nasir, Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husain, Ustaz Abu Bakar bin Razak, Ustaz Khairul Abdan bin Baharuddin, Ustaz Mohammad Yaakub Yusro bin Yusuf, Ustaz Ammar bin Mustaffa, Ustaz Mohammad Faiz Zuhdi bin Azahar dan Ustaz Anas bin Mansor telah bermesyuarat kali pertama di Hayyu Sabik, Kaherah pada Jumaat 12 Rejab 1436 bersamaan 1 Mei 2015 untuk membincangkan penubuhan satu pusat pengajian yang akhirnya dinamakan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi di bawah kelolaan Syeikh Ruwaq yang pertama Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir.
Pusat Pengajian Ruwaq Jawi seterusnya telah dirasmikan oleh Y.M T.Y.T Dato Ku Jaafar bin Ku Shaari Duta Besar Malaysia Ke Republik Arab Mesir Dan Palestin pada 5 Syawal 1436 bersamaan 21 Julai 2015 sekaligus menjadikan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
Pusat Pengajian Ruwaq Jawi menekankan majlis pembacaan kitab-kitab bersama para ulamak khususnya dari al-Azhar al-Syarif yang turut mempelajari kitab-kitab tersebut daripada para guru mereka dengan silsilah sanad yang bersambung sampai kepada pengarang kitab.
Sehingga ke saat ini, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi telah mengadakan:
1) pembacaan kitab al-Jawahir al-Lu’luiyyah Syarah kepada al-Arbaun al-Nawawiyyah oleh Syeikh Ruwaq Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir,
2) majlis pembacaan Risalah al-Azkiya Fi Bayan Akhir Waqt al-Isha karangan Syeikh Ruwaq Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir pada 15 Syaaban 1436 bersamaan 2 Jun 2015.
3) majlis periwayatan hadith-hadith Musalsal pada 1 Syawal 1436 bersamaan 17 Julai 2015 melalui jalan sanad Syeikh Ahmad Mamduh al-Azhari,
4) majlis pembacaan kitab al-Arba’un al-Nawawiyyah pada 5 Syawal 1436 bersamaan 21 Julai 2015 juga melalui jalan sanad Syeikh Ahmad Mamduh al-Azhari
5) pembacaan kitab al-Taqrirat al-Saniyyah oleh Syeikh Ruwaq Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir sebanyak lima kali majlis bermula pada 9 Syawal 1436 bersamaan 25 Julai 2015
6) dan pembacaan kitab al-Tuhfah al-Saniyyah yang dibaca di hadapan Syeikh Ali bin Soleh bin Ali al-Azhari yang merupakan murid langsung kepada Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid pengarang kitab al-Tuhfat al-Saniyyah sebanyak 4 kali majlis bermula pada 18 Syawal 1436 bersamaan 3 Ogos 2015.
Semoga Allah memberkati sebarang usaha untuk memajukan lagi perjalanan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi di bumi al-Azhar al-Syarif.
Sumber:https://www.facebook.com/PusatPengajianRuwaqJawi/posts/sejarah-penubuhan-ruwaq-jawi-kalimah-ruwaq-adalah-nama-khusus-yang-digunakan-ole/1619021528347378/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan